Sunday, December 23, 2012

Khasiat Lada Hitam: Pandangan Homeopati


Oleh :

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

[Di dalam sebuah artikel mengenai Khasiat Lada Hitam, sdr Ramli Abdul Karim telah menulis sebagaimana berikut: DI antara rempah ratus, LADA HITAM ialah yang paling popular dan digunakan dengan meluas. - Ia dikenali oleh masyarakat di seluruh dunia sama ada sebagai ramuan masakan, perisa dan sos. - Lada hitam atau nama saintifiknya Piper nigrum L. dari keluarga Piperaceae dikenali dengan nama yang hampir serupa di kebanyakan negara Barat iaitu berdasarkan sebutan PEPPER.
Orang Belanda memanggilnya peber manakala di Perancis (poivre), Jerman (pfeffer), Greek (piperi), Itali (pepe), Norway (pepper), Romania (piper), Sweden (peppar) dan Turki (biber). -Dalam bahasa Thai, lada hitam dipanggil prik thai, Tamil (milagoo), Vietnam (hat-tieu), Punjabi (kali marich), Jepun (koshou), Hindi (gol mirch) dan Laos (mak phik noi).
Tumbuhan itu dikatakan berasal dari Malabar di pantai barat India Selatan yang hari ini terletak dalam negeri Kerala. - Di Asia Tenggara, lada hitam dikatakan telah tumbuh di Malaysia dan Indonesia sejak 2,000 tahun lalu. - Selain lada hitam Malabar dan Tellicherry dari India serta Belem dari Brazil, lada hitam Sarawak ialah antara yang paling bermutu dan cukup terkenal di serata dunia. - Walaupun ia lebih meluas penggunaannya dalam masakan dan makanan, namun lada hitam juga mempunyai khasiat dan kegunaan dalam perubatan berasaskan herba.
Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, buah lada hitam boleh mengubati pening kepala, cirit-birit dan melawaskan kencing manakala daunnya pula merawat demam. - Menurutnya, buah lada hitam muda yang telah dibersihkan perlu direbus terlebih dahulu sebelum airnya diminum.
“Jumlah buah muda yang digunakan bergantung kepada paras air dengan perbandingan satu atau dua sudu bagi setiap satu cawan air.”
“Selepas masak, air rebusan perlu diminum perlahan-lahan dan amalan ini tidak perlu diteruskan jika sakit kencing tidak lawas, cirit-birit dan pening kepala telah sembuh,” ujarnya.
Tajuddin menambah, bagi mengubati demam, daun pokok lada hitam perlu ditumbuk hancur dan kemudian ditampalkan atau diikat pada dahi. - Sementara itu, kata beliau, untuk menyegarkan dan memanaskan badan ibu-ibu lepas bersalin, sedikit buah muda yang ditumbuk dengan ikan bilis dimakan bersama-sama nasi yang masih panas.]

Artikel mengenai khasiat lada hitam menarik perhatian saya untuk memberi sedikit maklumat tambahan. Ini adalah kerana ia turut merupakan bahan yang telah disediakan sebagai penawar homeopati sejak homeopati diperkenalkan pada awal abad ke sembilan belas. Bagaimanapun, ia tidak merupakan remedi utama dalam senarai remedi-remedi homeopati yang biasa dikenali dan diajarkan kepada penuntut-penuntut homeopati.
Walaupun terdapat beberapa perbezaan dari segi khasiat dan penggunaan secara herba berbanding homeopati, di sini saya ingin berkongsi idea tentang simptom-simptom yang mungkin boleh mencetuskan idea ke arah pengumpulan maklumat yang lebih lengkap mengenai khasiat perubatan bahan rempah ratus ini.
Satu perkara yang jelas ialah kegunaan sesuatu bahan dalam perubatan herba lebih banyak berasaskan pengalaman. Akhir-akhir ini, apabila ia dibawa masuk ke makmal, banyaklah bukti-bukti saintifik dikemukakan bagi menyokong penggunaannya. Demikianlah halnya dengan lada hitam.
            Nama saintifik lada hitam iaitu Piper nigrum L., sebenarnya juga merupakan nama remedi homeopati yang selalunya dikekalkan dengan nama asalnya. Sesuai dengan sebutan “lada hitam”, ia juga lebih mudah dikenali atau dicamkan apabila disebut “black pepper”. Jenama ini bernilai komersil baik di peringkat pasar malam maupun pasar raya.
Salah satu khasiat yang disebutkan di dalam Utusan Malaysia (9 April 2002) terdahulu ialah kemampuannya mengubati pening kepala. Pernyataan yang umum itu memang biasa dengan tabiat merawat yang mengidentifikasikan ubat dengan jenis sakit atau penyakit. Tetapi hal ini sebenarnya diberikan dengan agak terperinci di dalam materia medika homeopati.
            Mengikut Dr. W. Boericke, simptom sakit kepala Piper nigrum ialah sakit kepala yang berat sehingga seolah-olah kedua pelipis ditekan-tekan. Terdapat juga rasa tekanan pada tulang hidung dan tulang muka. Kedua mata radang dan membakar. Sakit bola mata pula bagaikan hendak meletup.
            Sebahagian simptom yang dinyatakan di atas agak terperinci berbanding setakat penyataan sakit kepala. Ini adalah justeru para penguji remedi homeopati mencatat dengan halusi dan terperinci setiap simptom yang dirasakan ketika menguji satu-satu bahan.
            Selain daripada sakit kepala, terdapat beberapa simptom lain yang mungkin berhubungan dengan kegunaannya dalam perubatan herba, Antara catatan yang boleh dipetik daripada materia medika Boericke ialah kegunaan Piper nigrum dalam kes-kes gastrik, flatulens, kolik dan krem. Ia juga boleh diberikan bagi sesetengah kes dispnea dan batuk yang mempunyai rasa sakit di dada.
Tentang kegunaannya sebagai ubat melawaskan kencing, keterangan simptom dalam perubatan homeopati yang boleh membantu menunjukkan kesesuaiannya ialah apabila terdapat simptom-simptom berikut: rasa membakar di dalam pundi dan saluran kencing, sukar untuk kencing, ataupun bila pundi kencing rasa penuh dan membengkak. Pesakit mungkin timbul rasa hendak kencing tetapi kerapkali kencing tidak keluar.
            Saya bersetuju bahawa lada hitam boleh menyegarkan dan memanaskan badan. Bukan sahaja untuk ibu-ibu lepas bersalin, malahan bermanfaat untuk orang biasa juga. Tetapi setakat ini Piper nigrum bukanlah penawar yang disyurkan untuk tujuan itu dalam rawatan homeopati. Demikian juga ia jarang dirujuk sebagai ubat demam dalam amalan homeopati. Hanya Dr. J. H. Clarke menyarankan kegunaannya apabila demam disertai kepala rasa berat, pening dan pesakit berpeluh sejuk.

Moga bermanfaat semua. :)

No comments:

Penghuni Cakap Bual

57 Senarai Biasiswa & Pinjaman Pelajaran Malaysia 2012 & 2013
AsiaCube - The Best Free Social Exchange Site!

Share This!