Oleh :
Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
[Di dalam sebuah artikel mengenai Khasiat Lada Hitam, sdr Ramli Abdul
Karim telah menulis sebagaimana berikut: DI antara rempah ratus, LADA HITAM
ialah yang paling popular dan digunakan dengan meluas. - Ia dikenali oleh
masyarakat di seluruh dunia sama ada sebagai ramuan masakan, perisa dan sos. -
Lada hitam atau nama saintifiknya Piper nigrum L. dari keluarga Piperaceae
dikenali dengan nama yang hampir serupa di kebanyakan negara Barat iaitu
berdasarkan sebutan PEPPER.
Orang Belanda memanggilnya
peber manakala di Perancis (poivre), Jerman (pfeffer), Greek (piperi), Itali
(pepe), Norway (pepper), Romania (piper), Sweden (peppar) dan Turki (biber).
-Dalam bahasa Thai, lada hitam dipanggil prik thai, Tamil (milagoo), Vietnam
(hat-tieu), Punjabi (kali marich), Jepun (koshou), Hindi (gol mirch) dan Laos
(mak phik noi).
Tumbuhan itu dikatakan berasal
dari Malabar di pantai barat India Selatan yang hari ini terletak dalam negeri
Kerala. - Di Asia Tenggara, lada hitam dikatakan telah tumbuh di Malaysia dan
Indonesia sejak 2,000 tahun lalu. - Selain lada hitam Malabar dan Tellicherry
dari India serta Belem dari Brazil, lada hitam Sarawak ialah antara yang paling
bermutu dan cukup terkenal di serata dunia. - Walaupun ia lebih meluas
penggunaannya dalam masakan dan makanan, namun lada hitam juga mempunyai
khasiat dan kegunaan dalam perubatan berasaskan herba.
Pegawai Laboratori Fitoubatan,
Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap
memberitahu, buah lada hitam boleh mengubati pening kepala, cirit-birit dan
melawaskan kencing manakala daunnya pula merawat demam. - Menurutnya, buah lada
hitam muda yang telah dibersihkan perlu direbus terlebih dahulu sebelum airnya
diminum.
“Jumlah buah muda yang
digunakan bergantung kepada paras air dengan perbandingan satu atau dua sudu
bagi setiap satu cawan air.”
“Selepas masak, air rebusan
perlu diminum perlahan-lahan dan amalan ini tidak perlu diteruskan jika sakit
kencing tidak lawas, cirit-birit dan pening kepala telah sembuh,” ujarnya.
Tajuddin menambah, bagi
mengubati demam, daun pokok lada hitam perlu ditumbuk hancur dan kemudian
ditampalkan atau diikat pada dahi. - Sementara itu, kata beliau, untuk
menyegarkan dan memanaskan badan ibu-ibu lepas bersalin, sedikit buah muda yang
ditumbuk dengan ikan bilis dimakan bersama-sama nasi yang masih panas.]
Artikel mengenai khasiat lada hitam menarik perhatian saya untuk memberi
sedikit maklumat tambahan. Ini adalah kerana ia turut merupakan bahan yang
telah disediakan sebagai penawar homeopati sejak homeopati diperkenalkan pada
awal abad ke sembilan belas. Bagaimanapun, ia tidak merupakan remedi utama
dalam senarai remedi-remedi homeopati yang biasa dikenali dan diajarkan kepada
penuntut-penuntut homeopati.
Walaupun terdapat beberapa perbezaan dari segi
khasiat dan penggunaan secara herba berbanding homeopati, di sini saya ingin
berkongsi idea tentang simptom-simptom yang mungkin boleh mencetuskan idea ke
arah pengumpulan maklumat yang lebih lengkap mengenai khasiat perubatan bahan
rempah ratus ini.
Satu perkara yang jelas ialah kegunaan sesuatu bahan
dalam perubatan herba lebih banyak berasaskan pengalaman. Akhir-akhir ini,
apabila ia dibawa masuk ke makmal, banyaklah bukti-bukti saintifik dikemukakan
bagi menyokong penggunaannya. Demikianlah halnya dengan lada hitam.
Nama saintifik lada
hitam iaitu Piper nigrum L., sebenarnya
juga merupakan nama remedi homeopati yang selalunya dikekalkan dengan nama
asalnya. Sesuai dengan sebutan “lada hitam”, ia juga lebih mudah dikenali atau
dicamkan apabila disebut “black pepper”.
Jenama ini bernilai komersil baik di peringkat pasar malam maupun pasar raya.
Salah satu khasiat yang disebutkan di dalam Utusan Malaysia (9 April
2002) terdahulu ialah kemampuannya mengubati pening kepala. Pernyataan yang
umum itu memang biasa dengan tabiat merawat yang mengidentifikasikan ubat
dengan jenis sakit atau penyakit. Tetapi hal ini sebenarnya diberikan dengan
agak terperinci di dalam materia medika homeopati.
Mengikut Dr. W.
Boericke, simptom sakit kepala Piper nigrum
ialah sakit kepala yang berat sehingga seolah-olah kedua pelipis ditekan-tekan.
Terdapat juga rasa tekanan pada tulang hidung dan tulang muka. Kedua mata
radang dan membakar. Sakit bola mata pula bagaikan hendak meletup.
Sebahagian simptom
yang dinyatakan di atas agak terperinci berbanding setakat penyataan sakit
kepala. Ini adalah justeru para penguji remedi homeopati mencatat dengan halusi
dan terperinci setiap simptom yang dirasakan ketika menguji satu-satu bahan.
Selain daripada sakit
kepala, terdapat beberapa simptom lain yang mungkin berhubungan dengan
kegunaannya dalam perubatan herba, Antara catatan yang boleh dipetik daripada
materia medika Boericke ialah kegunaan Piper nigrum dalam kes-kes gastrik, flatulens, kolik dan krem. Ia
juga boleh diberikan bagi sesetengah kes dispnea dan batuk yang mempunyai rasa
sakit di dada.
Tentang kegunaannya sebagai ubat
melawaskan kencing, keterangan simptom dalam perubatan homeopati yang boleh
membantu menunjukkan kesesuaiannya ialah apabila terdapat simptom-simptom
berikut: rasa membakar di dalam pundi dan saluran kencing, sukar untuk kencing,
ataupun bila pundi kencing rasa penuh dan membengkak. Pesakit
mungkin timbul rasa hendak kencing tetapi kerapkali kencing tidak keluar.
Saya
bersetuju bahawa lada hitam boleh menyegarkan dan memanaskan badan. Bukan
sahaja untuk ibu-ibu lepas bersalin, malahan bermanfaat untuk orang biasa juga.
Tetapi setakat ini Piper nigrum bukanlah
penawar yang disyurkan untuk tujuan itu dalam rawatan homeopati. Demikian juga
ia jarang dirujuk sebagai ubat demam dalam amalan homeopati. Hanya Dr. J. H.
Clarke menyarankan kegunaannya apabila demam disertai kepala rasa berat, pening
dan pesakit berpeluh sejuk.
Moga bermanfaat semua. :)