Saturday, April 28, 2012

cbAgama: 5 Perkara yang Elok Disebut


Assalamualaikum..
Peringatan hari ini ialah, 5 perkara yang semoleknya kita sebagai muslim selalu menuturkannya dengan anugerah lidah dan hati ini. Medium yang dikurniakan ini haruslah kita gunakan kepada jalannya yang sebenar, supaya kita tidak digelar zalim kepada diri sendiri kelak. 5 perkara tersebut ialah:


  1. Perbanyakkan Menyebut Urusan Akhirat Daripada Urusan Dunia. Sudah menjadi tabiat manusia, mereka lebih suka bercakap perihal keduniaan jika dibandingkan dengan urusan hala tuju tujuan sebenar mereka, iaitu akhirat. Orang yang palling cerdik ialah mereka selalu mengingati kepada kematian. Urusan dunia yang nilainya kecil, 1/100 nisbahnya dari nilai akhirat, satu perbandingan yang tidak terjangkau jauhnya, sebagaimana nikmat yang kita kecapi di dunia ini, hanya 1/100 nikmat yang Allah SWT campakkan kepada semua makhluk di bumi, rugilah sesiapa yang tidak menyibukkan diri kepada baki nisbah 99/100 nikmat tersebut, sedangkan dirinya sibuk mengejar yang 1 sahaja.  Firman Allah SWT: "Dan tidaklah kehidupan di dunia itu, kecuali kesenangan yang mengaburi mata". Surah Al-Imran, ayat 185.
  2. Perbanyakkan Menyebut Allah Daripada Menyebut Makhluk.  Kita selalu menyebut dan memuji seseorang yang selalu berbuat baik kepada kita, itulah sifat semulajadi manusia.  Tetapi mereka selalu terlupa, siapa yang paling layak dipuji atas pemberian itu. Makhluk yang berbuat baik sedikit, kita puji habis-habisan tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.        
  3. Perbanyakkan Menyebut Dan Mengingat Urusan Kematian Daripada hal-hal Kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa? 
  4. Jangan Menyebut Kebaikan Sendiri Dan Keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu. 
  5. Jangan Membuka Keaiban atau Keburukan Diri Orang Lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik.  Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.  
Masa itu Emas

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama berdoa semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...

P/S : Share-lah untuk saling ingat mengingati..Wallahu a'lam. :) 
    

No comments:

Penghuni Cakap Bual

57 Senarai Biasiswa & Pinjaman Pelajaran Malaysia 2012 & 2013
AsiaCube - The Best Free Social Exchange Site!

Share This!